Latar Belakang
Puan Nor Izha Binti Mohamad Shah merupakan seorang usahawan dan juga pengasas kepada perniagaan pakaian muslimah jenama Dmimi yang semakin melebarkan sayapnya di seluruh Malaysia, Brunei dan juga Singapura. Puan Nor Izha yang lebih mesra disapa sebagai kak Ina atau Puan Ina merupakan anak kelahiran Sungai Buaya, Kedah yang telah dilahirkan pada 17 Mei 1980.
Beliau merupakan anak kepada sepasang suami isteri yang tinggal dikawasan luar bandar iaitu di Parit Buntar, Perak. Bapanya ketika itu bekerja sebagai kakitangan kerajaan manakala ibunya pula merupakan seorang suri rumah sepenuh masa. Beliau juga merupakan anak sulung kepada dua beradik, di mana beliau mempunyai seorang adik perempuan.
Kehidupan Awal
Puan Ina dibesarkan dalam keluarga kecil yang sederhana di sebuah kampung yang terletak di Parit Buntar, Perak. Bapanya bekerja sebagai tukang kebun sekolah untuk menyara keluarga kecil mereka. Kedua ibu bapanyalah yang banyak berkorban untuk membesarkan beliau bersama dengan seorang adiknya.
Setelah tamat belajar, beliau pernah belajar di salah sebuah syarikat swasta yang terkenal dan perlu bertugas di cawangan Shah Alam. Beliau telah berkhidmat di syarikat tersebut selama setahun sebelum membuat keputusan untuk pulang ke kampung halaman yang terletak di Parit Buntar, Perak.
Beberapa faktor telah membuatkan beliau merasakan bahawa itu adalah keputusan yang tepat untuk diambil. Salah satunya adalah kerana beliau merasakan bahawa dirinya tidak sesuai untuk tinggal di kawasan Bandar. Ini kerana keadaan di sana dengan kos sara hidup yang tinggi jika nak dibandingkan dengan gaji yang beliau perolehi di syarikat tersebut bukanlah sesuatu yang berbaloi.
Sebaik sahaja pulang ke kampung di usia yang masih muda remaja itu, Puan Ina telah menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan membantu bapanya di gerai makanan milik kedua orang tuanya. Beliau akan membantu kedua ibu bapanya untuk menjual laksa dan juga ais kacang. Ketika itulah bapanya banyak mengajarnya berkenaan perniagaan dan bagaimana untuk melayan pelanggan walaupun usianya ketika itu masih remaja.
Pada ketika itu Puan Ina masih belum berkahwin, namun dia telah pun bertunang dengan suaminya. Disebabkan oleh itu juga dia membuat keputusan untuk pulang ke kampung halaman. Namun begitu beliau tidak hanya membantu ibu bapanya di gerai sahaja kerana disebabkan oleh tanggungjawab yang menebal di dalam diri beliau, Puan Ina telah memohon begitu banyak permohonan jawatan kosong dan menghadiri temuduga termasuk di badan kerajaan. Namun rezeki pada ketika itu tidak berpihak kepadanya.
Pendidikan
Sama seperti anak-anak orang lain, ibu bapa kepada Puan Ina turut tidak terlepas dari diberikan didikan yang sempurna kepada beliau dari segi agama dan juga akademik. Puan Ina telah menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Methodist, Parit Buntar dari darjah satu sehingga tamat sesi persekolahan darjah enam. Manakala peringkat menengah telah diteruskan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak, Parit Buntar sehingga tamat tingkatan lima.
Disebabkan oleh kesungguhan beliau dalam menuntut ilmu di sekolah, beliau telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di salah satu universiti tempatan iaitu di Universiti Teknologi Mara, kampus Shah Alam dalam bidang pengajian maklumat. Setelah berjaya menamatkan tempoh pendidikan di peringkat diploma, beliau telah menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda sehingga berjaya memperoleh segulung ijazah di dalam bidang yang sama di Universiti tersebut.
Perkahwinan
Puan Ina telah mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya pada tahun 2004. Pasangannya iaitu Encik Shaharil Bin Shafie juga berasal dari Parit Buntar, Perak. Suaminya ketika itu bekerja sebagai seorang pengurus di sebuah syarikat pemprosesan beras yang terletak berdekatan kawasan tempat tinggal mereka. Suaminya juga merupakan seorang orang biasa yang pada mulanya hanya merupakan seorang kerani di syarikat tersebut sebelum ditawarkan kenaikan pangkat untuk menjadi pengurus.
Setelah enam bulan mendirikan rumah tangga, Puan Ina telah mendapat tawaran bekerja di bahagian kewangan di sebuah badan kerajaan. Namun begitu beliau tidak mendapat keizinan daripada suaminya untuk bekerja di organisasi itu yang terletak di Putrajaya. Beliau terpaksa menuruti kehendak suaminya bagi menjaga hubungan diantara mereka disamping menjadi isteri solehah dengan menghormati keputusan suaminya.
Pada hakikat dirinya pada ketika itu agak memberontak dengan keputusan tersebut. Ini kerana beliau mempunyai komitmen untuk membayar semula pinjaman pendidikan beliau yang dibuat selama menuntut di universiti dan benar-benar berhasrat ingin membantu meringankan beban kedua ibu bapanya.
Dalam perkahwinan ini, Puan Ina dan suami telah dikurniakan seramai tiga orang anak. Namun begitu anak bongsu mereka telah meninggal dunia pada usia empat bulan. Kini mereka suami isteri hanya mempunyai sepasang anak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Anak perempuannya kini telah mencecah usia 16 tahun manakala anak lelaki berusia 13 tahun.
Penubuhan Awal Perniagaan
Disebabkan oleh kesungguhan beliau yang ingin melunaskan segala hutang pendidikan yang dibuat sebelum ini dan berniat untuk membantu keluarga, Puan Ina telah meminta suaminya untuk membantu dirinya mewujudkan satu peluang perniagaan agar beliau dapat menyempurnakan niatnya selama ini.
Pada masa yang sama Puan Ina turut membantu suaminya dengan perniagaan runcit yang telah suaminya usahakan sejak berusia 21 tahun. Kini kedai runcit tersebut telah beroperasi selama 16 tahun dan lebih dikenali sebagai Pasar Mini PE CERIA. Puan Ina telah banyak membantu sebelum ini dengan menginovasikan kedai tersebut daripada sebuah kedai runcit biasa sehingga menjadi sebuah pasar mini.
Apa yang beliau lakukan adalah dengan menambah beberapa barangan di kedai tersebut seperti alat tulis, kosmetik dan banyak lagi. Ini bagi memudahkan lagi penduduk di kawasan itu memperoleh pelbagai barangan yang mereka perlukan hanya di pasar mini milik suaminya itu. Beliaulah yang banyak membantu suami menguruskan perniagaan runcit itu pada suatu ketika dahulu.
Beliau bertekad untuk mempunyai perniagaan sendiri dan menepis segala pandangan negatif masyarakat yang boleh menjatuhkan semangat beliau untuk memulakan perniagaan. Dengan itu dia telah berbincang dengan suaminya mengenai perniagaan apa yang ingin mereka jalankan dan benar-benar menarik minat Puan Ina sendiri untuk mengusahakannya.
Disebabkan Puan Ina merupakan seorang wanita yang semestinya sama sepertimana wanita lain yang menggemari kecantikan, maka kata sepakat telah dibuat. Mereka suami isteri telah membuat keputusan untuk menjalankan perniagaan pakaian wanita yang berkonsepkan muslimah.
Keputusan ini diambil kerana mereka mendapati perniagaan pakaian sering di dominasi oleh kaum cina, Vietnam dan kemboja. Kaum melayu yang menjalankan perniagaan pakaian begitu sedikit, tambahan pula mereka berdua ingin menjual pakaian yang lebih selesa dan sesuai untuk golongan wanita muslim.
Ternyata Puan Ina lebih teruja untuk menjalankan perniagaan pakaian muslimah kerana pakaian tersebut akan menjadi penarik kepada wanita muslim untuk memakainya. Selain daripada itu, Pakaian yang berkonsepkan muslimah ini akan membawa ke arah kebaikan di samping menjadi inspirasi kepada wanita muslim untuk menjaga aurat mereka dengan lebih baik.
Puan Ina turut mendapat inspirasi untuk memulakan perniagaan pakaian daripada ibu bapa angkatnya yang merupakan pasangan saumi isteri dari Vietnam dan Kemboja. Mereka ini tidak tahu menulis dan membaca namun masih mampu untuk menjadi usahawan yang berjaya. Mereka juga bermula daripada kosong sehinggalah berjaya.
Antara prinsip perniagaan yang diterapkan oleh pasangan itu terhadap Puan Ina adalah dalam perniagaan haruslah mempunyai niat untuk membantu orang lain. Kemudian sebagai seorang muslim segala yang dilakukan itu haruslah berpaksikan niat kepada Allah dan haruslah melakukan sesuatu perkara secara bersungguh-sungguh.
Pada awalnya Puan Ina turut pernah mengeluarkan produk kosmetik jenama beliau sendiri. Antara produk yang dikeluarkan adalah sabun dan juga krim muka dan krim asas. Namun beberapa aspek telah difikirkan dan beliau membuat keputusan untuk tidak meneruskannya. Antara perkara yang dipertimbangkan adalah dirasakan bahawa pernigaan tersebut tidak bersesuaian dengan dirinya kerana ingin fokus pada pakaian sahaja.
Pada tahun 2008 dengan bermodalkan wang sebanyak sepuluh ribu ringgit hasil simpanan mereka suami isteri, Puan Ina dan suaminya telah memulakan perniagaan yang mereka bincangkan dengan mula menjual tudung. Stok tudung itu di ambil dari pemborong. Pada mulanya beliau hanya menumpang meletakkan stok di kedai runcit milik suaminya sahaja.
Walaupun hanya dipasarkan di kedai runcit sahaja, namun setiap stok tudung yang dipasarkan akan tetap habis dijual. Dari situ Puan Ina mendapati bahawa perniagaan ini mempunyai potensi untuk berkembang dengan lebih maju. Dengan itu dia telah mengambil sebuah kedai kosong di sebelah kedai runcit milik suaminya untuk dijadikan sebagai butik pakaian.
Kedai itu hanya merupakan sebuah lot kedai kampung yang tidak begitu menarik. Namun suaminya telah membantu untuk mengubahsuai kedai tersebut biar kelihatan lebih menarik dan sesuai untuk menjual pakaian. Pada ketika itu Puan Ina telah memasukkan sebanyak 56 helai baju dan 12 helai tudung sahaja sebagai permulaan kepada pembukaan kedai itu.
Beliau telah melakukan segalanya sendiri tanpa bantuan orang lain pada ketika itu kerana suaminya juga masih bekerja. Puan Ina merupakan individu yang menjaga kedai, menggantung pakaian, melayan pelanggan dan banyak lagi. Segalanya dilakukan sendiri. Pada masa yang sama beliau turut perlu melakukan tugasan sebagai seorang isteri dan ibu. Tambahan pula anak keduanya baru sahaja lahir pada ketika itu.
Puan Ina mula menambah barangan di kedai pakaian milik beliau sedikit demi sedikit. Matlamatnya ketika itu benar-benar ingin melunaskan hutang pinjaman pendidikan yang beliau miliki. Pada masa yang sama beliau turut berniat untuk membantu orang lain yang memerlukan pekerjaan dan ingin menambah pendapatan. Dengan itu beliau memberi peluang kepada beberapa orang pelanggan tetapnya untuk memasarkan pakaian keluaran beliau di kilang-kilang sehingga membuatkan pasaran perniagaan yang dijalankan kian meluas.
Kemudian Puan Ina mula berniaga borong di pasar Kemboja yang terletak di Parit Buntar. Dia akan mula berniaga di pasar itu bermula dari jam 6.30 pagi sehingga tiga petang pada setiap hari jumaat dan isnin. Ternyata berniaga secara borong di pasar Kemboja begitu memenatkan walaupun beliau mempunyai tiga orang pekerja yang membantunya berniaga di pasar borong. Tambahan pula ketika itu beliau sedang mengandungkan anak ketiganya.
Ujian Hidup
Di saat perniagaan mereka suami isteri mula ingin berkembang maju, Puan Ina dan suami mula diduga dengan ujian hidup yang tidak pernah terlintas di akal fikiran mereka. Anak ketiga yang ditunggu-tunggu setelah sekian lama diuji dari segi kesihatan. Sebaik sahaja anak ketiga mereka dilahirkan, bayi kecil itu disahkan mengalami masalah kesihatan.
Anak ketiga itu perlu ditempatkan di unit rawatan rapi bagi memantau keadaan semasa beliau. Dengan itu Puan Ina terpaksa meninggalkan suami dan dua anaknya yang lain untuk menjaga dan memberi perhatian sepenuhnya terhadap anak ketiga mereka di unit rawatan rapi. Namun begitu sebaik sahaja umur bayi mereka memasuki empat bulan, bayi kecil itu tidak mampu bertahan lagi dan telah disahkan meninggal dunia.
Itu sememangnya perkara yang amat sukar untuk diterima oleh mereka kerana anak ketiga itu sememangnya dinanti-nantikan dan Puan Ina serta suami telah membuat persiapan sebaiknya untuk memberikan yang terbaik buat anak mereka. Namun sebagai seorang muslim mereka yakin bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang. Dengan itu mereka sekeluarga redha dengan ketentuan itu.
Selepas beberapa lama pemergian anak bongsunya, Puan Ina diberikan rezeki untuk menunaikan umrah. Dia amat bersyukur dengan kurniaan Allah untuk mengerjakan ibadah umrah setelah bersedih atas pemergian anak bongsunya. Namun ketika itu mereka masih lagi diuji iaitu mereka mempunyai hutang sebanyak 400 ribu ringgit dengan pihak bank dan juga beberapa organisasi kerajaan yang lain. Mereka tidak mampu untuk melunaskan hutang sebanyak itu.
Dari situ Puan Ina dan suami mula mencari semula di mana kurang atau kesalahan yang mereka lalukan sepanjang menjalankan perniagaan. Kemudian mereka membuat keputusan untuk menjaga ibadah yang wajib dengan sebaik mungkin dan mengerjakan ibadah sunat. Tambah Puan Ina, suaminya sehingga kini tidak ketinggalan untuk mengerjakan solat sunat dhuha setiap hari. Mereka juga sering mengamalkan amalan bersedekah.
Semasa mengerjakan ibadah umrah, Puan Ina telah berdoa di hadapan kaabah dan meluahkan segala isi hatinya bahawa dia ingin membuka kedai bagi perniagaan pakaiannya di pusat Bandar. Ketika itu dia benar-benar memohon agar Allah memberikan jalan untuk beliau mencapai hasratnya itu dan menunjukkan jalan bagi memudahkan uru
Sebaik sahaja pulang dari mengerjakan ibadah umrah, setiap pagi Puan Ina dan suaminya akan menaiki kereta dan mengelilingi kawasan Pusat Bandar, Parit Buntar untuk mencari sama ada terdapat kedai yang kosong. Namun begitu beliau merasa hampa kerana tidak terdapat satu buah kedai yang kosong ketika itu. Disebabkan niat dan semangat beliau yang berkobar-kobar itu, Puan Ina tidak berputus asa dan masih lagi mencari kedai kosong setiap pagi hampir setiap hari.
Perniagaan mula berkembang
Semangat yang ditunjukkan oleh Puan Ina dan suami mula membuahkan hasil apabila akhirnya mereka telah berjaya menemui sebuah kedai kosong yang didapati telah lama tidak beroperasi. Dari situ beliau mula menghubungi pemilik kedai untuk bertanyakan mengenai kedai tersebut. Dimaklumkan bahawa kedai tersebut baru sahaja kosong. Tanpa membuang masa dan tidak ingin melepaskan peluang keemasan itu, Puan Ina terus bersetuju untuk mengambil alih kedai tersebut bagi menjalankan perniagaannya.
Dengan itu Puan Ina telah bersedia untuk membuka butik pakaian milik beliau sendiri di kedai tersebut dan menjual secara terus kepada pelanggan. Puan ina mula menghasilkan rekaan baju untuk keluaran butiknya itu. Ternyata rekaan yang dihasilkan mendapat penerimaan oleh masyarakat setempat di Parit Buntar. Itu membuatkan ramai yang ternanti-nantikan setiap keluaran terbaru butik mereka.
Nama Dmimi telah dipilih bagi perniagaan butik pakaian yang mereka jalankan. Menurut Puan Ina, D itu merupakan ‘dream’ yang bermaksud impian iaitu simbolik kepada impian beliau untuk menjalankan perniagaan pakaian. Manakala Mimi itu pula sempena nama anak sulung beliau iaitu Shamimi Hani Binti Shaharil.
Pada hari pembukaan butik Dmimi, sambutan yang hangat telah diterima apabila begitu ramai masyarakat setempat termasuk dari Kedah dan Pulau Pinang yang datang beratur untuk mendapatkan koleksi pakaian keluaran butik Dmimi milik Puan Ina. Pada ketika itu Encik Shaharil yang merupakan suami kepada Puan Ina tidak lagi bekerja di kilang beras malah telah menjadi pengurus di butik Dmimi bagi membantu Puan Ina menjalankan perniagaan.
Butik Dmimi telah mengeluarkan baju kurung siap untuk dipakai serta pakaian lain yang sesuai untuk dipakai secara harian dalam pelbagai majlis dan keadaan. Namun baju-baju itu masih lagi mematuhi konsep muslimah dan bergaya seperti yang telah ditetapkan oleh Puan Ina. Harga bagi setiap pakaian yang dijual juga berpatutan dan ternyata mampu milik oleh setiap golongan masyarakat.
Puan Ina berusaha untuk memberikan yang terbaik terhadap apa yang beliau telah mulakan. Dengan itu beliau sentiasa memastikan kain yang digunakan untuk menghasilkan pakaian bagi produk keluaran butiknya merupakan kain yang berkualiti. Beliau merupakan seorang yang sangat menghargai pelanggannya dengan memberikan perkhidmatan serta layanan terbaik terhadap setiap pelanggan.
Beliau turut mengamalkan tolak ansur dengan pelanggannya bagi memastikan setiap pelanggan berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Butik Dmimi. Namun beberapa syarat turut ditetapkan untuk pelanggan patuhi sekiranya mereka mempunyai hasrat untuk menukar pakaian atau sebagainya. Dengan itu pelanggan pasti akan datang semula untuk mendapatkan pakaian keluaran butik Dmimi.
Butik dmimi turut pernah bekerjasama dengan sebuah gedung pakaian terkemuka Malaysia. Disebabkan oleh kejujuran dan keikhlasan dalam berurusan yang diamalkan oleh Puan Ina dan suami dengan pihak tersebut. Akhirnya pihak gedung pakaian itu sanggup untuk memberikan kredit dan membekalkan kain untuk dibuat pakaian oleh butik dmimi.
Gedung pakaian tersebut memberikan kepercayaan kepada butik dmimi untuk mengambil stok kain terlebih dahulu dan membayar secara ansuran bulanan. Kerjasama itu telah berlangsung selama tiga tahun sehinggalah gedung pakain itu tidak lagi mengeluarkan kain secara pukal malah lebih tertumpu kepada pengeluaran secara terhad sahaja. Tambahan pula modal untuk mengambil kain dari pihak tersebut juga agak tinggi.
Sejak dari itu, Puan Ina dan suami telah mengambil stok kain secara terus dari beberapa negara seperti China, Indonesia, Vietnam dan Thailand. Beliau sendiri telah ke sana bersama dengan suami untuk membeli dan memilih kain yang berkualiti serta bersesuaian untuk dijadikan baju bagi keluaran butik dmimi. Ternyata harga kain dari sana lebih murah serta berpatutan tambahan pula kain dari negara-negara itu terbukti cantik dan berkualiti tinggi.
Puan Ina turut berniat untuk membantu orang lain sekiranya beliau dapat mengembangkan perniagaan pakaian yang dijalankan. Dari situ beliau dan suami mula menjalankan perniagaan secara dalam talian. Untuk memulakan perniagaan secara dalam talian banyak perkara baru yang perlu dipelajari.
Oleh itu beliau dan suami tidak merasa segan untuk mengikuti kelas mempelajari bagaimana cara menjalankan perniagaan secara dalam talian. Walaupun tahap pendidikan beliau ternyata lebih tinggi berbanding suami, namun ternyata suaminya lebih pandai dalam perniagaan.
Beliau amat bersyukur kerana mempunyai suami yang sentiasa ingin menaik taraf diri bersama. Suaminyalah yang sering mengajak dirinya untuk mengikuti kelas-kelas berkenaan perniagaan dan lebih terbuka untuk mencari ilmu baru. Ini kerana suaminya merupakan insan yang sentiasa ada dalam setiap jatuh bangun dirinya sepanjang tempoh perkahwinan dan juga dalam menjalankan perniagaan.
Bagi Puan Ina, suaminya merupakan segalanya bagi dirinya. Tambahnya lagi, tanpa Encik Shaharil akan pincanglah bahunya dalam menjalankan perniagaan kerana suaminya itu merupakan kekuatan serta semangat kepada beliau. Encik Shaharil juga boleh diumpamakan sebagai tulang belakang kepada Puan Ina yang banyak menyokong beliau dari awal sehinggalah mereka sama-sama dapat mencapai kejayaan ke tahap ini.
Setelah 13 tahun perniagaan pakaian berkonsepkan muslimah ini beroperasi, perniagaan ini dilihat telah berkembang dengan begitu pesat. Perniagaan yang bermula dengan hanya seramai 10 orang pekerja sahaja kini telah mempunyai seramai 27 orang pekerja di pejabat.
Perniagaan pakaian ini yang hanya menjalankan urusan jual beli di butik sahaja turut telah menjalankan jualan secara dalam talian. Malah perniagaan ini turut telah mempunyai seramai 10 ribu dropship dari serata Malaysia termasuk Singapura yang menjalankan perniagaan menjual pakaian keluaran butik Dmimi secara dalam talian. Dengan itu perniagaan pakaian keluaran butik Dmimi ini telah berkembang dan dipasarkan di seluruh Malaysia.
Usaha
Pelbagai usaha dilakukan oleh Puan Ina untuk membawa nama perniagaannya sehingga ke tahap ini. Beliau sanggup mengeluarkan wang untuk membuat banting iklan bagi perniagaannya dan membayar iklan social media di pelbagai platform. Ini semua bagi memastikan jenama Dmimi akan lebih dikenali oleh ramai orang. Beliau turut membayar golongan yang berpengaruh di media sosial untuk membuat review bagi beberapa pakaian keluaran butik Dmimi.
Selain itu, beliau turut mengeluarkan set pakaian sedondon bagi memudahkan pelanggannya mendapatkan set pakaian untuk keluarga terutamanya ketika musim perayaan. Oleh itu Dmimi kini bukan hanya ada baju untuk golongan wanita malah turut ada pakaian untuk lelaki, kanak-kanak perempuan dan juga kanak-kanak lelaki.
Beliau turut mengambil lebih ramai orang untuk menjadi dropship bagi produk jenama beliau kerana ingin membantu lebih ramai orang menjana pendapatan. Dengan itu Puan Ina dan suami telah menetapkan target untuk membantu setiap dropship Dmimi menjana pendapatan sekurang-kurangnya seribu sebulan.
Puan Ina turut memberi fokus sepenuhnya terhadap pakaian muslimah berbanding terpengaruh dengan pengeluaran pakaian syarikat lain yang lebih kepada mengikut trend fesyen semasa. Ini kerana dia lebih tertarik untuk mengajak golongan wanita muslim untuk menutup aurat dengan sempurna. Tambahnya lagi, jumlah pelanggan bukan muslim yang membeli di butiknya begitu kecil peratusannya. Oleh itu dia ingin fokus pada satu target pemasaran sahaja.
Perniagaan yang dijalankan oleh Puan Ina dan suami bukan sahaja untuk meraih keuntungan semata-mata. Malah mereka turut berusaha untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat terutamanya golongan muda. Ini kerana mencari pekerjaan bukanlah sesuatu yang mudah pada masa kini. Dengan usaha yang dilakukan ini dapat membantu lebih ramai orang.
Puan Ina dan suami turut berkongsi rezeki yang mereka perolehi dengan perlaksanaan aktiviti khidmat masyarakat. Mereka akan memberikan sebanyak 200 helai baju pada golongan kurang berkemampuan setiap kali tibanya musim perayaan. Ahli jawatankuasa masjid berdekatan akan turut diberikan pakaian keluaran butik Dmimi.
Mereka sama sekali tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik seperti golongan anak yatim. Bantuan kepada golongan anak yatim tidak hanya diberikan semasa musim perayaan malah turut dijalankan pada hari biasa. Sumbangan turut diberikan kepada mangsa bencana alam bagi meringankan sedikit bebanan yang perlu mereka hadapi.
Cabaran
Setiap yang dilakukan di dalam hidup ini semestinya terselit dengan cabaran yang tersendiri. Sama sepertimana Puan Ina yang turut menghadapi cabaran dalam setiap perkara dan keputusan yang beliau ambil. Ini kerana cabaran yang hadir dalam hidup merupakan salah satu cara untuk mematangkan lagi seseorang dalam membuat keputusan hidup.
Apabila ditanyakan mengenai cabaran yang dihadapi selama menjalankan perniagaan ini sejak dari mula sehingga kini, menurut Puan Ina cabaran utama merupakan ilmu. Ini kerana ilmu merupakan sesuatu yang begitu luas. Dengan ilmu pengetahuan yang ada juga kita dapat menyelesaikan setiap masalah serta cabaran yang mendatang selain daripada perlu berpaksikan kepada Allah iaitu tuhan yang Maha Esa.
Selain daripada itu, Puan Ina dan suami turut perlu berhadapan dengan persaingan dalam perniagaan. Ini kerana terdapat begitu banyak jenama di negara ini bak cendawan tumbuh selepas hujan yang menjalankan perniagaan yang hampir sama iaitu menjual pakaian berkonsepkan muslimah. Ternyata persaingan ini begitu sengit terutama penjualan secara dalam talian. Namun begitu Puan Ina tidak mudah mengalah malah beliau cuba menyahut cabaran ini dengan memaparkan kelebihan yang ada pada setiap produk pakaian yang dikeluarkan.
Puan Ina turut perlu berhadapan dengan pandangan ramai pihak sejak dari awal beliau memulakan perniagaan ini. Antaranya ramai dalam kalangan masyarakat yang beranggapan bahawa perniagaan yang dijalankan ini tidak akan bertahan lama. Malah turut ada yang membuat andaian sendiri dengan mengatakan perniagaan yang telah beliau mulakan tidak akan berjaya sama sekali.
Pada awalnya ayah kepada Puan Ina agak terkilan dengan keputusan yang diambil oleh beliau untuk memulakan perniagaan dan menolak tawaran kerja dengan sektor kerajaan. Ini kerana setiap bapa semestinya inginkan yang terbaik buat anaknya. Tambahan pula anak sulung mereka merupakan seorang graduan lepasan universiti, semestinya dia mendambakan anak perempuannya itu akan mendapat pekerjaan yang baik serta dapat menjamin masa depan anaknya itu sendiri dengan bekerja di sektor kerajaan. Itu telah membuatkan bapanya tidak mahu untuk bercakap dengan dirinya untuk tempoh beberapa bulan.
Bapa kepada Puan Ina tidak begitu bersetuju dengan keputusan Puan Ina untuk memulakan perniagaan sendiri. Walaupun bapanya sendiri menjalankan perniagaan makanan, namun beliau tidak yakin bahawa perniagaan pakaian yang anak sulungnya ini ingin jalankan akan membuahkan hasil serta berjaya. Ibunya yang lebih bersifat keibuan banyak menasihati untuk berfikir ke hadapan kerana banyak risiko serta cabaran yang perlu ditempuhi sekiranya memasuki bidang perniagaan.
Pihak keluarga mertua juga tidak begitu yakin dengan apa yang Puan Ina ingin mulakan. Bagi mereka, Puan Ina merupakan seorang graduan Universiti dan mana mungkin beliau mampu untuk melakukan kerja yang remeh temeh sebegini. Malah mereka lebih berpendapat bahawa Puan Ina lebih sesuai untuk melalukan kerja-kerja pejabat yang bersesuaian dengan kelulusan yang dimiliki oleh Puan Ina.
Walaupun banyak pihak yang membantah dan memandang enteng terhadap apa yang Puan Ina ingin lakukan, namun begitu beliau masih mempunyai seorang adik yang begitu menyokong apa yang beliau inginkan. Adik perempuannya itu banyak menyokong serta menasihati beliau supaya melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana adik perempuannya itulah yang merupakan sahabat dan sentiasa ada susah senang beliau.
Walau terdapat begitu banyak respon negatif terhadap apa yang ingin dilakukan, Puan Ina tidak mudah mengalah dan tetap teruskan dengan apa yang beliau telah rancangkan. Kini perniagaan yang tidak begitu mendapat persetujuan ramai pada permulaannya telah berkembang maju dengan jayanya. Dengan itu Puan Ina telah berjaya membuktikan bahawa apa yang mereka fikirkan selama ini adalah salah sama sekali.
Kini pandangan masyarakat serta keluarga telah berubah sama sekali. Ramai yang memperlekeh beliau sebelum ini mula menjadikan beliau sebagai idola dalam perniagaan. Malah turut ada di antara mereka yang menghantar anak-anak mereka untuk melaksanakan latihan industri dengan syarikat Puan Ina. Terdapat juga anak-anak mereka yang menjalankan projek usahawan di Universiti memilih syarikat Puan Ina.
Menurut Puan Ina, beliau turut ada menerima permohonan kerja dari kalangan anak-anak masyarakat setempat yang pernah merasa tidak yakin terhadap apa yang Puan Ina ingin mulakan suatu ketika dahulu. Dengan itu Puan Ina yakin bahawa dia telah berjaya mengubah persepsi keluarga dan masyarakat terhadap diri dan perniagannya. Puan Ina merasa apa yang diusahakan selama ini merupakan sesuatu yang berbaloi.
Kejayaan
Kejayaan seemangnya sesuatu yang semua orang ingin kecapi sebaik sahaja telah bersusah payah membangunkan sesuatu dari awal sehingga ke puncaknya. Sama seperti Puan Ina, beliau telah berjaya memperoleh kejayaan dari segi keluarga dan juga perniagaan yang beliau usahakan dalam hidupnya.
Matlamat utamanya untuk membayar hutang pinjaman pendidikan dan hutang yang banyak terhadap pihak bank dan beberapa organisasi telah berjaya dilangsaikan. Malah dia juga dapat membantu keluarganya dan keluarga mertua.
Dari segi keluarga, beliau amat bersyukur kerana telah dikurniakan sepasang anak yang sangat memahami kerjaya beliau dan suami. Malah anak sulungnya iaitu Shamimi Hani turut menunjukkan minat terhadap bidang perniagaan. Anaknya itu turut menjalankan perniagaan menjual makanan ringan kepada rakan-rakan pada setiap kali cuti persekolahan berlangsung.
Malah anak-anak beliau tidak sama sekali merungut berkenaan masa yang diluangkan bersama kerana Puan Ina dan suami amat bijak menguruskan masa di antara anak-anak dan perniagaan. Mereka turut mencari masa pada musim persekolahan untuk membawa anak-anak bersama turut serta melihat bagaimana cara mereka berurusan dan menjalankan perniagaan. Pada masa yang sama turut dapat mengajar anak-anak untuk menjalankan perniagaan.
Setelah beberapa tempoh perniagaan ini beroperasi, Puan Ina telah berjaya memperoleh kereta idamannya yang telah sekian lama diidamkan. Itu merupakan satu kejayaan terhadap dirinya sendiri. Sekiranya suatu ketika dahulu beliau hanya mempunyai sebuah rumah, kini beliau dan suami telah berjaya mempunyai sebanyak empat buah rumah dan sebuah bangunan pejabat.
Manakala kepada keluarga, beliau telah berjaya mengubah hidup dan membantu keluarga. Beliau telah membawa bapanya menunaikan umrah dengan hasil usaha beliau sendiri selama ini dan membelikan kereta baru kepada bapanya. Beliau turut membelikan kereta untuk adiknya dan mengubah suai dapur rumah ibu mertuanya sehingga menjadi sama seperti dapur rumah beliau sendiri. Apa yang lebih membanggakan adalah beliau dan suami dapat membelikan rumah baharu untuk ibu bapa dan mertuanya.
Puan Ina amat berpegang pada pegangan beliau iaitu untuk memberi manfaat kepada lebih ramai orang sementara masih ada di dunia. Kata-kata itulah yang telah membuatkan Puan Ina mampu bertahan sehingga kini dan memperoleh pelbagai pencapaian dalam hidupnya.
Sekian…
Comments