Dmimi merupakan sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan pakaian yang lebih menumpukan kepada pakaian Wanita Muslimah seperti baju kurung dan blouse yang mematuhi syariat islam namun pada masa yang sama masih membuatkan pemakai kelihatan moden dan bergaya mengikut perkembangan fesyen semasa.
Syarikat perniagaan dmimi merupakan sebuah syarikat jenis perkongsian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). No pendaftaran bagi syarikat Dmimi Sdn. Bhd adalah 1291178-K. Perniagaan ini telah ditubuhkan pada tahun 2008 iaitu pada 02/03/2008. Kini, perniagaan pakaian Dmimi telah beroperasi selama hampir 13 tahun.
Pada awal penubuhan perniagaan ini, Encik Shaharil iaitu pengurus Dmimi dan Puan Izha iaitu pengasas jenama Dmimi hanya memasarkan produk kain pasang dan tudung sahaja pada ketika itu. Namun kini Dmimi sudah mempunyai rekaan pakaian yang tersendiri, dan mereka bukan sahaja mengeluarkan baju kurung dan blouse untuk kaum wanita. Malah Dmimi turut mengeluarkan baju melayu, kurta serta set untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan.
Pada tahun 2008, perniagaan Dmimi ini hanya beroperasi di Parit Kasa, Parit Buntar, Perak. Namun setelah empat tahun perniagaan Dmimi beroperasi, Encik Shaharil dan Puan Izha telah membuat keputusan untuk berpindah lokasi perniagaan mereka. Dengan itu mereka telah bersepakat untuk berpindah kedai dan memulakan operasi perniagaan mereka di kawasan Pusat Bandar, Parit Buntar, perak.
Perniagaan pakaian telah dipilih kerana pengasas Dmimi iaitu Puan Izha merupakan seorang wanita yang amat menyukai fesyen. Tambahan pula pakaian merupakan keperluan harian yang perlu ditukar ganti setiap hari. Dengan itu orang ramai semestinya akan mencari pakaian untuk kegunaan mereka sama ada sebagai pakaian harian ataupun sebarang majlis disamping dapat mengajak lebih ramai golongan muslimah untuk menutup aurat dengan sempurna.
Menurut Puan Izha, perniagaan pakaian juga ternyata lebih mudah untuk dikendalikan kerana pakaian tidak mempunyai tarikh luput dan boleh disimpan untuk jangka waktu yang lama. Pengguna juga boleh menggunakannya secara berulang kali untuk tempoh yang panjang. Tambah beliau lagi, produk pakaian juga lebih mudah untuk dipasarkan dalam pasaran tempatan.
Awalnya Dmimi hanya mempunyai seramai tiga orang pekerja sahaja. Ketiga-tiga pekerja itulah yang banyak membantu Puan Izha dalam melakukan pelbagai perkara. Namun kini Dmimi telah berkembang maju dan mempunyai seramai 28 orang pekerja yang bertugas di bahagian pengurusan, jualan secara dalam talian dan juga bekerja di butik Dmimi. Sehingga kini Dmimi masih lagi membuka peluang kepada orang ramai yang sedang mencari kerja untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Dmimi.
Produk pakaian keluaran butik Dmimi menggunakan material yang amat berkualiti tinggi bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan setiap keluaran butik Dmimi. Bagi memastikan kualiti produk sentiasa terjamin, Encik Shaharil dan Puan Izha telah memilih untuk menggunakan kain dari pembekal dari Kuala Lumpur. Kain yang disediakan oleh pembekal itu juga merupakan kain yang diimport terus daripada Korea, Jakarta dan China.
Sebelum berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020, mereka berdua telah pergi terus ke negara China untuk bertemu dengan pembekal kain bagi material yang dmimi gunakan dan berurusan secara terus dengan pembekal dari sana. Namun sejak PKP diumumkan, mereka lebih memilih untuk menggunakan orang tengah iaitu pembekal dari Kuala Lumpur bagi memudahkan lagi urusan mereka mendapatkan bekalan kain.
Dengan itu jelaslah bahawa setiap pakaian keluaran butik Dmimi dijamin berkualiti kerana menggunakan material yang berkualiti serta dijamin kualitinya. Antara material yang menjadi pilihan butik Dmimi adalah kain bercorak dan juga kain tidak bercorak. Pengurus dan pengasas Dmimi sendiri yang memilih dan menetapkan kain jenis apa yang perlu digunakan untuk menghasilkan produk pakaian keluaran butik Dmimi.
Syarikat Dmimi mempunyai satu cawangan butik Dmimi yang beroperasi di Pusat Bandar, Parit Buntar, Perak. Buat masa sekarang, Dmimi tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menambah cawangan. Malah Dmimi ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan secara atas talian yang sedang dilaksanakan sekarang. Ini kerana pembelian secara dalam talian begitu mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia. Namun begitu, butik Dmimi masih lagi tetap beroperasi seperti biasa untuk mereka yang ingin membeli secara terus di butik.
Parit Buntar, Perak telah menjadi lokasi pilihan untuk butik Dmimi beroperasi. Lokasi ini dipilih kerana Encik Shaharil dan Puan Izha sendiri merupakan masyarakat setempat di kawasan ini, maka mereka merasa lebih mudah untuk memulakan perniagaan di kawasan mereka sendiri. Tambahan pula Parit Buntar juga merupakan Kawasan lubok pakaian kerana ramai kaum Vietnam dan Kemboja menjalankan perniagaan pakaian di lokasi ini.
Apa yang lebih menarik adalah, Parit Buntar merupakan lokasi yang sangat strategik untuk menjalankan perniagaan. Ini kerana Parit Buntar merupakan Kawasan tumpuan orang ramai dan lokasinya yang terletak berdekatan dengan sempadan negeri Pulau Pinang dan kedah membuatkan ramai orang dari kawasan berdekatan datang ke Parit Buntar.
Pengasas jenama Dmimi iaitu Puan Izha mendapat inspirasi untuk menjalankan perniagaan pakaian daripada kaum Kemboja yang banyak menjalankan perniagaan pakaian di negara ini. Dari situ beliau bertekad untuk membuktikan bahawa sebagai seorang rakyat Malaysia yang berkelulusan, beliau juga boleh mengembangkan perniagaannya di negara sendiri sama seperti mana bangsa Kemboja yang datang mencari rezeki di negara ini.
Pada awal penubuhan perniagaan Dmimi ini, modal yang dilaburkan untuk memulakan perniagaan kain pasang dan tudung pada Ketika itu adalah sebanyak RM15 ribu ringgit. Hari demi hari semakin tinggi jumlah wang yang dilaburkan untuk mengembangkan lagi jenama Dmimi sehingga membolehkan dmimi mempunyai rekaan baju tersendiri atas jenama Dmimi. Sehingga kini, sebanyak RM2 juta ringgit telah dilaburkan sebagai modal untuk mengembangkan perniagaan Dmimi sehingga ke tahap ini.
Puan Izha mempunyai matlamatnya tersendiri terhadap perniagaan pakaian miliknya ini. Beliau berhasrat untuk memperluaskan lagi perniagaan ini dan mampu untuk mempunya wisma sendiri. Dengan itu beliau dapat memberikan manfaat kepada lebih ramai orang dengan membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai dengan bekerja dalam syarikat ini.
Selain daripada matlamat terhadap perniagaan yang dijalankan, Puan Izha semestinya mempunyai hasrat untuk dirinya sendiri setelah bertungkus lumus membangunkan perniagaan dan jenama dmimi. Puan Izha berhasrat untuk menjadi salah seorang usahawan melayu yang mampu untuk berkembang maju dalam perniagaan pakaian sehingga mampu membuatkan jenama dmimi dikenali serta setara dengan jenama-jenama lain di negara ini.
Puan Izha turut menyimpan impian untuk membantu lebih ramai orang luar menjana pendapatan bersama dengan beliau dan pasangan dalam perniagaan ini. Orang luar dapat menjana pendapatan dengan cara yang amat mudah iaitu dengan hanya menjadi dropship jenama Dmimi. Perniagaan secara dalam talian ini ternyata amat berkesan terutamanya terhadap mereka yang begitu terkesan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sekian...
Comments