top of page
Writer's pictureNadia Rosmadi

Ciri Muslimah Berjaya Dunia & Akhirat

Menjadi seorang yang berjaya semestinya menjadi impian setiap orang di dunia ini. Namun bagi golongan wanita muslim, menjadi seorang muslimah yang hebat bukanlah hanya dengan kejayaan dunia, malah akhirat juga. Di sini ingin dikongsikan bersama pembaca beberapa ciri-ciri wanita muslimah yang Berjaya dunia dan akhirat.


1. Hamba Allah yang patuh

Permulaan untuk menjadi seorang muslimah yang hebat adalah dengan menjadi hamba Allah yang patuh pada setiap perintahnya. Haruslah menjaga solat kerana solat itu merupakan tiang agama dan langkah awal untuk menuju kejayaan.


Selain daripada melaksanakan solat fardhu, solat sunat juga haruslah tidak ditinggalkan dan ibadah ini haruslah dibuat dengan penuh keihlasan dan khusyuk. Rukun iman yang lain juga tidak seharusnya ditinggalkan bagi memasttikan diri dapat menjadi muslimah yang sejati.


Ini kerana untuk menjadi seorang yang berjaya haruslah mencapai keredhaan Allah S.W.T terlebih dahulu. Maka, dia sentiasa kembali kepada Allah dalam semua urusan. Dia sentiasa memohon keampunan dari Allah dan menerima qada dan qadar Allah dengan hati yang terbuka.


2. Cantik luar dan dalam

Seorang muslimah yang hebat bukan sekadar cantik dari segi luaran yang mampu membuatkan semua terpana apabila melihatnya. Namun seorang muslimah yang hebat adalah seorang wanita yang cantik dari segi luaran dan juga dalaman.


Dia makan makanan yang baik-baik dan tidak makan dengan keterlaluan. Kebersihan tubuh menjadi keutamaannya selain apa yang disarungkan pada tubuhnya. Penampilannya sentiasa kemas dan menyejukkan hati yang memandang. Kecantikan yang keterlaluan bukanlah minatnya.


Muslimah yang hebat rajin menuntut ilmu. Begitulah cara dia menjaga mindanya. Kisah-kisah kejayaan wanita menjadi sumber inspirasinya. Jiwanya pula disucikan dengan ibadah. Maka dia suka bergaul dengan para ilmuwan, orang alim dan majlis ilmu. Rutin hariannya diserikan juga dengan zikir dan doa.


3. Anak yang solehah

Seorang muslimah yang hebat akan sentiasa mentaladani kedua orang tuanya dengan baik. Dia sama sekali tidak merasa kekok untuk melayani kedua ibu bapanya. Malah sangat menghormati kedua ibu bapanya.


Wanita sebeginilah yang akan Berjaya di dunia dan juga akhirat. Segala bakti yang ditaburkan kepada kedua ibu bapanya pastinya akan dibalas oleh Allah S.W.T. Walaupun kedua ibu bapanya mungkin tidak seagama dengannya, namun rasa hormat dan berbuat baik kepada mereka tetap menjadi keutamaan. Dia seorang anak yang bertanggungjawab.


4. Isteri yang solehah

Perkara pertama yang dipilih oleh seorang muslimah yang hebat adalah memilih seorang suami yang baik. Dengan itu, dia juga patuh dan hormat kepada suaminya untuk hal-hal kebaikan. Nasihatnya dituruti di samping dia sering berada di sisi suaminya.


Dia menjaga hati suaminya dan membuat suaminya bahagia, Rasa hormat itu disalurkan juga kepada ibu bapa dan keluarga suaminya. Apa yang menjadi rahsia suami dan rumahtangganya dijaga dengan rapi.


5. Ibu yang mithali

Menjadi seorang ibu yang baik dan mithali juga merupakan salah satu ciri muslimah yang Berjaya. Dikatakan demikian kerana, Sebagai seorang ibu, dia memahami tanggungjawabnya kepada anak-anak. Dia cuba mendidik mereka dengan baik dan sentiasa belajar serta mencari kaedah terbaik bagi mendidik mereka.


Dia akan cuba menangani segala perkara negative yang akan mempengaruhi anaknya. dia berusaha untuk menyemai benih sifat dan tingkah-laku yang baik di dalam diri anak-anaknya. Kasih-sayangnya tidak berbelah-bahagi dan cintanya kepada mereka juga tidak sampai kepada memilih kasih.


6. Ibu mertua yang baik

Seringkali ibu mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka. Justeru, dia bijak dalam menimbang wanita terbaik untuk dijadikan menantunya. Walaupun begitu, dia tidak dengan melulu mencampuri urusan anak dan menantunya. Baginya, nasihat yang baik itu penting tetapi anak dan menantunya berhak untuk belajar membuat keputusan terbaik bagi keluarga mereka.


Maka, seorang ibu mithali amat menghormati menantunya selain melayani mereka dengan baik selagi mana mereka tidak membuat kerosakan yang dibenci Allah. Dia juga bersikap adil dalam menghakimi mereka. Sekiranya timbul masalah, ia diatasi dengan penuh hikmah.


7. Berhati mulia

Umat yang bersatu akan memberikan kekuatan kepada kelompok tersebut. Banyak masalah yang boleh diatasi dan banyak kebaikan boleh dibina dan dikekalkan. Muslimah yang hebat akan menjaga hubungan persaudaraan ini sebaik mungkin. Dia akan berusaha untuk tidak menyakiti mereka walaupun dengan saudara yang bukan Islam.


8. Jiran yang baik

Sebagaimana seorang muslimah baik kepada saudaranya, begitu juga dengan jiran-jirannya. Dia baik dan mesra dengan mereka tanpa memilih agama dan bangsa. Dia memahami kedudukan seorang jiran dalam Islam di mana seorang muslim yang baik adalah jiran terbaik bagi jirannya.


9. Menyayangi rakan

Seorang muslimah yang hebat juga menyayangi rakannya kerana Allah. Dengan itu dia akan mempunyai sifat bertimbang rasa dan pemaaf terhadap rakannya sekiranya berlaku salah faham di antara mereka. Dia juga akan memberikan bantuan kepada rakannya sekiranya mereka berada dalam kesusahan dan sentiasa berbuat baik kepada mereka.


Dia tidak memburukkan rakannya, mengumpat, atau memfitnah mereka. Begitu juga perkara-perkara lain yang boleh menyakitkan hati mereka. Dalam senyap, dia mendoakan yang terbaik untuk rakan-rakannya.


10. Masyarakat yang mengambil berat

Memandangkan diri seorang muslimah itu sudah sebati dengan kebaikan, secara tidak langsung dia juga adalah seorang rakyat yang bagus. Hidup bermasyarakat memerlukan sifat-sifat mulia. Maka dia menjaga kesemua itu seperti dianjurkan Al-Quran dan Sunnah.


Dia mengambil berat tetapi tidak terlalu mencampuri urusan orang lain, dia tegas tetapi tidak sombong, tidak menzalimi orang lain, seorang yang ringan tulang, dia bersifat merendah diri, sering mengambil berat dalam hal kemasyarakatan atau hubungan sesama muslim, dan pelbagai lagi nilai mulia dalam bermasyarakat.


Sumber: TZKRH

34 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • YouTube
bottom of page