Semua orang semestinya inginkan pakaian yang dibeli mampu bertahan untuk satu tempoh yang Panjang. Dengan itu wang yang telah dilaburkan untuk pakaian terus akan terasa lebih berbaloi. Ini kerana pembeli telah membayar pakaian tersebut dengan satu harga yang tinggi, semestinya mereka mengharapkan pakaian tersebut boleh dipakai untuk jangka waktu yang Panjang.
Terdapat beberapa langkah yang perlu dipatuhi bagi memastikan pakaian kita dapat bertahan lama. Ini kerana cara penjagaan yang betul turut dapat menjamin ketahanan pakaian tersebut dari pelbagai faktor. Sekiranya pengguna mengikut langkah-langkah ini, pakaian dan kualiti pakaian akan turut terpelihara.
Antara Langkah-langkah penjagaan pakaian yang betul adalah,
1. Elakkan merendam pakaian terlalu lama
Salah satu faktor yang membuatkan pakaian mudah rosak adalah kerana pakaian tersebut telah direndam untuk satu tempoh yang lama. Pakaian hanya perlu direndam dalam dalam jangka waktu selama 30 minit sahaja. Namun ramai yang sering merendam pakaian mereka terlalu dan ada yang merendam sehingga dua ke tiga hari.
Rendaman terlalu lama amatlah perlu dielakkan kerana bahan pencuci yang digunakan untuk merendam pakaian tersebut kemungkinan mengandungi bahan yang boleh merosakkan pakaian. Itulah yang menyebabkan pakaian yang direndam terlalu lama tidak dapat bertahan lama.
2. Asingkan mengikut warna dan material
Pakaian yang berlainan warna perlu diasingkan mengikut warna pakaian terlebih dahulu sebelum dibasuh. Dikhuatiri sekiranya baju yang berwarna putih atau cerah dibasuh bersama dengan baju yang berwarna gelap. Hal ini dikatakan demikian kerana, kemungkinan terdapat baju yang berwarna gelap luntur warnanya ketika dibasuh.
Sekiranya warna pakaian itu luntur, warna yang luntur tersebut kemungkinan besar akan melekat pada pakaian yang berwarna putih ataupun cerah. Itu akan membuatkan pakaian tersebut tidak lagi cantik warnanya seperti asal.
Pakaian juga harus dipisahkan mengikut jenis material sebelum dibasuh kerana terdapat pakaian yang memerlukan cara pencucian khas dan tidak boleh dicampur dengan pakaian yang lain semasa dicuci.
3. Jangan sental pakaian terlalu kuat dengan menggunakan berus
Pakaian yang digosok terlalu kuat dengan menggunakan berus akan mudah rosak dan terkoyak. Oleh itu sekiranya ingin memberus pakaian, janganlah menggunakan tenaga yang lebih dan menyental pakaian dengan begitu kuat.
Manakala pakaian seperti tudung dan selendang pula haruslah dielakkan daripada memberusnya ketika mencuci. Hal ini dikatakan demikian kerana, material bagi kedua jenis ini sangatlah lembut dan nipis. Jadi cukup dengan hanya menggosok dengan menggunakan tangan sahaja bagi tudung dan selendang.
4. Jemur pakaian basah
Pakaian yang telah dicuci haruslah dibilas dan dijemur dengan kadar segera. Elakkan daripada membiarkan pakaian yang telah dicuci dibiarkan lama tanpa dijemur. Pakaian yang dibiarkan tidak berjemur akan men
jadi berbau busuk (hapak) dan juga bertahi lalat. Maka pakaian itu sudah tidak cantik lagi untuk dipakai dan bau hapak tersebut tidak mudah hilang.
5. Terbalikkan pakaian ketika dijemur
Untuk memastikan warna pakaian kekal cantik sama seperti baru untuk tempoh yang lama, diharuskan untuk membalikkan pakaian ketika dijemur. Baju yang ingin dijemur haruslah diterbalikan terlebih dahulu sebelum dijemur.
Pakaian perlu diterbalikkan kerana cahaya matahari yang terkena pada pakaian dapat membuatkan warna pakaian menjadi pudar dan lusuh. Sekiranya pakaian bahgain dalam diterbalikkan ke luar, maka pakaian pada bahagian luar tidak akan terkena cahaya matahari secara langsung.
6. Jangan jemur pakaian dengan menggunakan penyangkut baju
Ramai yang gemar menjemur pakaian dengan menggunakan penyangkut baju kerana cara ini ternyata lebih memudahkan. Namun begitu, tanpa disedari sebenarnya cara ini boleh menyebabkan kerosakan pada leher baju.
Baju yang baru sahaja dicuci masih basah dan lembab kerana mengandungi air. Sekiranya baju itu dijemur dalam keadaan basah, air akan menarik bahagian leher ke bawah dan membuatkan leher baju menjadi besar dan melebar. Apabila dipakai baju itu akan jadi menggelebeh.
7. Elakkan menggunakan peluntur
Sekiranya terdapat kesan kotor mahupun tompok pada pakaian, ramai yang akan menggunakan peluntur pada pakaian tersebut dengan harapan kotoran tersebut akan hilang. Namun begitu, tanpa disedari penggunaan peluntur boleh merosakkan pakaian.
Sebolehnya dinasihatkan supaya elakkan penggunaan peluntur ataupun kurangkan penggunaan bahan peluntur pada pakaian. Hal ini dikatakan demikian kerana, bahan peluntur mengandungi bahan kimia yang yang sangat kuat dan boleh menyebabkan pakaian menjadi mudah reput dan tidak dapat bertahan lama.
8. Basuh baju menggunakan mesin basuh
Setiap orang semestinya mempunyai pelbagai jenis pakaian dengan pelbagai material dan aksesori pada pakaian mereka terutamanya bagi golongan wanita. Mencuci pakaian dengan menggunakan mesin basuh semsestinya menjadi pilihan ramai kerana cara ini lebih mudah dan menjimatkan masa.
Namun sebelum memasukkan pakaian ke dalam mesin basuh untuk dicuci, dinasihatkan supaya memeriksa setiap jenis material pakaian terlebih dahulu. Ini kerana pakaian dengan material fabrik yang lembut, mempunyai manik dan labuci sebaiknya dibasuh dengan menggunakan tangan sahaja bagi mengelakkan pakaian jenis ini rosak sekiranya dimasukkan ke dalam mesin basuh.
9. Seterika pakaian
Pakaian semestinya akan kelihatan lebih kemas sekiranya diseterika terlebih dahulu sebelum dipakai. Segala kedutan yang ada pakaian tersebut juga akan hilang apabila diseterika membuatkan si pemakai kelihatan lebih segak.
Namun janganlah sesekali menggosok pakaian yang masih basah atau lembab dengan menggunakan seterika dengan harapan baju tersebut akan lebih cepat kering. Ini kerana tindakan ini hanya akan merosakkan baju itu sahaja.
Sebaiknya pastikan baju yang ingin digosok itu telah dicuci dan dijemur sehingga kering sepenuhnya terlebih dahulu sebelum digosok dengan menggunakan seterika.
Comments